Sunday, January 29, 2012

AKIDAH ISLAM

Akidah merupakan sesuatu yang terlalu penting dalam kehidupan kita kerana ia merupakan asas dalam mencari tujuan sebenar kita hidup didunia ini. Ia ibarat tunjang atau akar bagi sebatang pokok yang mana jika baik dan kukuh akarnya maka baiklah batang, dahan dan buahnya. Jika dahannya rapuh atau buahnya rosak tetapi akarnya masih baik ia masih lagi boleh berdiri tetapi jika rosak akarnya maka rosaklah semuanya. Dalam pada itu juga, kita mestilah mencari benih-benih yang baik bagi menghasilkan akar dan pokok yang baik. Begitulah kita dalam mencari akidah yang sebenar dalam kehidupan kita. Apakah kita rasa akidah yang kita pegang pada hari ini telah jazam(putus) yakin dengan sebenar-benarnya atau kita hanya taqlid tanpa kita berusaha untuk kita mencari akidah yang sebenar. Nabi Muhammad juga berusaha untuk mencari kebenaran dengan pergi berkhalwat di gua hira. Akhirnya beliau berjumpa dengan kebenaran tersebut apabila wahyu pertama yang turun kepada beliau iaitu :
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Nabi Muhammad telah mendapatkan wahyu pertama terus melalui jibril dengan jalan muwajjahah, musyafahah dan talaqqi dan bukannya melalui fikirannya sendiri atau pemikirannya sendiri bahkan ia datang daripada Allah SWT melalui perantaraan malaikat Jibril. Ini membuktikan bahawa ilmu itu sifatnya mestilah kita mendapatkan dari sumber yang shahih dan muktabar melalui jalan talaqqi dengan guru. Lebih-lebih lagi dalam ilmu Akidah Islam kerana ia merupakan iktikad dalam kehidupan kita. Ia mestilah dipelajari dengan penuh perhatian dan mempunyai dalil-dalil yang kukuh bagi tiap-tiap pembahagian akidah yang dibuat. Sebab itulah Akidah mestilah diambil dalinya daripada Al-Quran dan Hadith yang Shahih Muthawtihir(Yakni diriwayatkan secara berkumpulan atau ramai). Pada hari ini ramai yang tidak mempedulikan perkara ini kerana mengambil ringan tentang persoalan akidah ini, cukup bagi mereka mempercayai bahawa Allah itu ada tanpa kita mempunyai dalil tentang kewujudan Allah. Mereka tidak memerhati dari manakah datang akidah yang mereka pelajari adakah daripada ulama yang muktabar yang alim dalam ilmu-ilmu Islam atau tidak.